Saturday, September 22, 2012

Ibnu Taimiyah

Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran, Turki. 

Ibnu Taimiyah; sekadar gambar ilustrasi artis 

Beliau hidup semasa zaman kekacauan yang menyaksikan pencerobohan kuasa Mongol. Keluarga Ibnu Taimiyah berpindah ke Damsyik pada tahun 1258. Di Damsyik, beliau belajar ilmu fiqah dari bapanya dan berguru dengan sarjana-sarjana Islam, di antaranya ilmu hadith dari Zaynab binti Makki. Selain itu beliau mempelajari ilmu sains, sastera Arab, falsafah, matematik, kaligrafi dan ilmu kalam. Daya ingatannya sangat kuat dan ilmunya dikatakan seolah-olah seperti sebuah ensiklopedia. Beliau juga mengarang ratusan buah kitab yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatwa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini.

Umat Islam pada masa itu sudah ramai yang menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam. Sebagai seorang yang bermazhab Hanbali, beliau mahu melihat masyarakat Islam kembali kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah. Ini menyebabkan beberapa puak dan kumpulan Islam tertentu berlaku perselisihan pendapat dengan beliau.

Terdapat juga pertikaian pandangan beliau dengan beberapa ulama serta pemerintah. Beliau kerap kali keluar masuk penjara disebabkan pertikaian tersebut. Pada tahun 1306, Ibnu Taimiyah dipenjarakan di Mesir selama 18 bulan kerana dituduh menyokong fahaman yang menyamakan sifat manusia ke atas Allah. Pada bulan Julai 1326, kerajaan Mesir sekali lagi mengarahkan beliau dipenjarakan kerana beliau mengutuk tradisi melawat kubur orang alim. Beliau meninggal dunia pada malam Isnin, 20 Zulkaedah 728H (27 September 1328) ketika berumur 65 tahun di dalam penjara di Damsyik, setelah sakit lebih dari 20 hari. 
Makam Ibn Taymiyyah berhampiran Baramkeh, Syria di dalam kampus Universiti Damsyik.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau dibenci oleh ramai orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita. Beliau dimakamkan di Damsyik berdekatan dengan kubur ibunya.

Perjalanan Rasulullah Mengerjakan Haji Wida'

Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan juga yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Peperangan Bani Quraizah


Peperangan ini berlaku pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan oleh tentera muslimin, Rasulullah telah didatangi oleh malaikat Jibril AS serta memberitahu bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah merupakan satu puak Yahudi yang bergabung dengan tentera Ahzab, untuk mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Yahudi Bani Quraizah itu yang bukan sahaja mengkhianati janji dengan Rasulullah, malah telah bersekongkol bersama tentera Ahzab kuffar serta merancang untuk membunuh seluruh umat Islam. 

Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah 3 ribu tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah. Tentera Islam mengepung perkampungan itu selama 25 malam sehingga orang-orang yahudi Bani Quraizah  akhirnya menyerah diri.

Thursday, September 20, 2012

Perjanjian Hudaibiyah

Perjanjian Hudaibiyah merupakan perjanjian damai diantara pihak musyrikin Quraisy Mekah dengan Rasulullah yang berlaku  pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 hijrah (Mac 628). Perjanjian Hudaibiyah ini dinamakan sempena nama tempat perjanjian ini ditandatangani iaitu di perkampungan Hudaibiyah.
Tapak masjid Hudaibiyah (lama) ini yang menjadi tempat Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.

Rentetan Peristiwa 

Sebelum itu, Rasulullah telah bermimpi, baginda mengunjungi Baitullah,  bercukur rambut, mengambil anak kunci Baitullah & Wukuf di Arafah bersama-sama sahabat. Rasulullah mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi  menunaikan ibadah umrah. Tambahan lagi perasaan rindu yang amat sangat terhadap keluarga, sanak saudara & tempat kelahiran para sahabat di Mekah, membuat lagi perasaan mereka kuat & berazam untuk menziarahi Baitullah

Dengan keyakinan umat Islam yang sudah kuat & mantap, Rasulullah bersama 1400 orang Islam termasuk 200 pasukan berkuda (sebagai pengawal keselamatan dan pasukan peninjau) pergi ke Mekah pada 1 Zulkaedah tahun 6 hijrah untuk mengerjakan umrah. Rombongan ini tidak melalui laluan utama dengan mengambil jalan berliku dicelah-celah bukit bagi mengelak bertembung dengan musuh. Malahan mereka tidak membawa senjata kecuali pedang musafir. Selain itu mereka membawa 70 ekor binatang ternakan sebagai bekalan makanan.

Di sepanjang perjalanan dari Bi’r Ali  Zulhulaifah, mereka memakai pakaian ihram dan bertalbiah. Apabila rombongan Rasulullah telah hampir ke Kota Mekah, pihak musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka Budail bin Warqa' al Khuzai  datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Mekah. Rasulullah telah memaklumkan  bahawa kedatangan orang Islam adalah untuk menziarah bukan untuk berperang. Sekembalinya Budail ke Mekah, pihak musyrikin menghantar pula Urwah bin Masud utk berunding dengan Rasulullah. Namun gagal mencapai sebarang persetujuan, malah pihak musyrikin Quraisy sudahpun mengumpulkan pasukan tentera berjumlah 8 ribu orang dan lengkap bersenjata.

Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan ke Mekah untuk berunding sekali lagi dengan pihak musyrikin. Malangnya Uthman bin Affan ditahan selama 3 hari dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar atau berbaiah (bai'at) untuk menuntut atas kematian itu. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian di antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berikrar : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Ikrar itu dikenali sebagai Baiah Ridhwan atau Bai’tus Syajarah iaitu sempena tempat  janji setia itu  diadakan iaitu di bawah pokok bernama  "Ridhwan"  ( Surah al Fath , ayat: 10). Apabila mendengar berita ini, pihak musyrikin ketakutan dan membebaskan Uthman bin Affan dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan Rasulullah.  

Pada bulan Zulkaedah tahun 6Hijrah (March 628M) perundingan inilah membawa kepada berlakunya "Perjanjian Hudaibiyah" yang mana berlaku di perkampungan Hudaibiyah. Saidina Ali r.a. bertindak sebagai pencatat perjanjian damai bagi pihak kaum muslimin ketika itu.

Kandungan Perjanjian Hudaibiyah
  • Gencatan senjata selama 10 tahun.
  • Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.
  • Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
  • Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian atau persahabatan dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.
  • Orang Islam hanya dibenarkan memasuki Mekah pada tahun  hadapannya dan disyaratkan hanya membawa senjata bersarung dan berada  di Mekah tidak lebih daripada tiga hari.
Pada mulanya para sahabat terutama Saidina Umar al Khattab mempertikaikan syarat-syarat perjanjian itu kerana kelihatan merugikan orang-orang Islam. Rasulullah pula melihat apa yang tersirat dari yang tersurat lantas bersetuju dengan syarat tersebut.

Hikmah Perjanjian Hudaibiyah
  • Orang Islam berpeluang menunaikan ibadat haji pada tahun hadapannya (629 Masihi) dan seterusnya.
  • Kehidupan masyarakat aman dan damai.
  • Pengiktirafan kepada Rasulullah dan negara Islam di Madinah.
  • Orang Islam dapat membuat perhubungan dengan kabilah Arab yang lain. Rasulullah menghantar utusan kepada kabilah-kabilah sekitar Madinah yg dinamakan”Sariyyah" pada tahun ke7 Hijrah
  • Berkembangnya syiar Islam dengan selesa merangka program dakwah Islamiyah ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah. Rasulullah juga menghantar utusan ke negeri asing untuk menyeru raja-rajanya peluk Islam.
  • Ramai orang kafir memeluk agama Islam secara terang-terangan tanpa risau dihukum oleh pihak musyrikin Quraisy.
  • Membuka jalan kepada pembebasan Mekah daripada musyrikin Quraisy.
  • Melambangkan ketokohan Rasulullah yang unggul sebagai pemimpin yang amat dikagumi dan secara tidak langsung telah mengajar umatnya bagaimana untuk membuat perjanjian dengan kaum kafir.
Tidak sampai setahun terbukti Perjanjian Hudaibiyah menguntungkan orang-orang Islam. Perjanjian Hudaibiyah itu mempercepatkan kemenangan bagi umat Islam. Perjanjian itu telah mengubah kedudukan agama Islam menjadi semakin kuat dan kedudukan kaum Quraisy di Mekah menjadi semakin lemah dalam masa yang singkat. Akhirnya membawa kepada penaklukan Kota Mekah. 

Perjanjian Hudaibiyah telah dicabul oleh kaum musyrikin selepas dua tahun perjanjian ini ditandatangani. Angkatan tentera Rasulullah menuju ke Mekah dan berjaya menguasai Mekah semula tanpa pertempuran yang besar. Beberapa tokoh-tokoh penting Arab Quraisy seperti Khalid al Walid, Amr bin Al-As dan Uthman bin Talhah telah memeluk Islam dan menjadi ikutan kepada orang-orang arab Quraisy yang lain.

Sunday, September 16, 2012

Sirah Zulhijah

Zulhijah (ذو الحجة) bulan terakhir dalam setahun. Ibadat Haji dan Hari Raya Korban/Aidil Adha dilakukan pada bulan ini yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah.  Perayaan ini sebagai satu simbolik dalam peristiwa penyembelihan Nabi Ismail a.s. oleh ayahdanya Nabi Ibrahim a.s., namun Allah telah menukarkan penyembelihannya kepada seekor kambing biri-biri.

Peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku pada bulan ini ialah;
  • 1 Zulhijah (2 tahun sebelum Hijrah)- Perkahwinan Saidina Ali dan puteri Rasulullah, Fatimah. 
  • 8 Zulhijah – Hari Wida’ Nabi yang terakhir. Rasulullah menyampaikan pidato kepada kaum muslimin di Bukit Arafah sebelum selesai ibadat haji
  • 09 Zulhijah - Hari Arafah
  • 11,12, dan 13 Zulhijjah- Hari Tasyriq adalah diharamkan umat Islam untuk berpuasa.
  • 26 Zulhijah, Khalifah Ar-Rasyidin Saidina Umar Al-Khattab meninggal dunia setelah dibunuh oleh Abu Lukluah berbangsa Parsi beragama Majusi.
  • 18 Zulhijah – Khalifah Usman meninggal dunia dibunuh di dalam rumahnya.
  • 25 Zulhijah - Saidina Ali menjadi Khalifah ar Rasyidin yang ke 4.
  • Penyerahan kuasa di Kufah oleh Saidina Hasan bin Ali kepada Muawiyah bin Abi Sufian
  • 27 Zulhijjah 132H – Jatuhnya kerajaan Bani Umaiyyah.

Sirah Zulkaedah


Zulkaedah (ذو القعدة) merupakan bulan yang ke 11. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghadkan aktiviti perniagaan mereka untuk berehat.

Walaupun pada bulan ini tiada ibadah yang dikhususkan untuk orang Islam amalkan seperti bulan-bulan Islam yang lain, namun bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Sebahagian besar Ulama’ berpendapat bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah.

Peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini ialah Perjanjian Hudaibiyah.

Sirah Syawal

Syawal (شوال) merupakan bulan ke 10 dalam bulan Hijrah. Pada 1 Syawal, umat Islam merayakan hari raya Aidil Fitri sebagai perayaan kesyukuran setelah menjalani ibadah puasa pada bulan sebelumnya iaitu bulan Ramadhan. Umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa sunat enam hari pada bulan tersebut kecuali 1 Syawal (yang diharamkan untuk berpuasa).

Pada bulan ini juga terdapat beberapa peristiwa diantaranya ialah;
  • 29 Syawal, bapa saudara Rasulullah, Abu Talib ibn 'Abd al-Muttalib dilahirkan.
  • Berlakunya peperangan Uhud pada 3H
  • Berlakunya peperangan Khandak pada 5H
  • Kejayaan tentera Islam di zaman pemerintahan Khalifah Umar merampas bandar Madain.

Sirah Ramadhan


Ramadhan (رمضان) bulan yang ke 9. Bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa dan disunatkan menunaikan solat Terawih di malam hari. Selain itu malam Lailatul-Qadar yang berlaku pada sepuluh hari terakhir adalah malam yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam, yang mana ganjaran pahala bagi menunaikan ibadat adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Bulan ini juga terdapat beberapa peristiwa penting di antaranya;
  • 08 hb (2 hijrah) - Berlakunya peperangan Badar
  • 10/20 hb (8 hijrah) - Penyempurnaan pembukaan Kota Mekah
  • 10 hb - Saiditina Khadijah binti Khuwaylid, isteri pertama Nabi Muhammad s.a.w meninggal dunia.
  • 15 hb -  Kelahiran cucu Rasulullah yang pertama, Hasan ibn Ali
  • 10/17 hb - Perang Badar telah dimenangi oleh umat Islam
  • 17-21 hb (40 hijrah) - Tragedi pembunuhan Saiyidina Ali. Beliau wafat dalam kecederaan ketika memasuki Masjid Kufah.


  •  02 hb, Kitab Taurat (Tawrat) telah dianugerahkan kepada Nabi Musa (as)
  • 12 hb, Injil (Injil) telah dianugerahkan kepada Nabi Isa (as)
  • 18 hb, Kitab Zabur telah dianugerahkan kepada Nabi Daud (as)
  • 17 hb – Turunnya ayat-ayat suci Al-Quran pertama di Gua Hira’ kepada Nabi Muhammad

Sirah Syaaban


Syaaban (شعبان) bulan yang ke 8 dalam kalendar Hijrah. Peristiwa terpenting ialah pada malam Nisfu Syaaban pada hari ke-15. Nisfu Syaaban ialah, amalan umat islam akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran (“buku”) amalan yang baru setelah setahun berlalu. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Peristiwa lain yang penting ialah berlaku pertukaran kiblat solat dari Masjid Al-Aqsa ke Kaabah Masjidul Haram.

Lain-lain peristiwa ialah kelahiran Zainab bin Saidina Ali pada 1 Syaaban ( sesetengah pendapat mengatakan pada bulan Jamadilawal) dan kelahiran Saidina Hussein bin Ali pada 3 Syaaban.


Sirah Rejab


Rejab  (رجب) merupakan bulan ke-7 di dalam kalendar Takwim Hijrah. Dalam bulan Rejab ini, berlaku peristiwa penting iaitu Isra' Mikraj dimana Rasulullah S.A.W telah diisra'kan dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin menunggang Buraq. Rasulullah S.A.W juga dibawa (Mikraj) ke langit dan telah menerima arahan solat lima waktu terus dari Allah di Sidratul Muntaha.

Selain itu terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku pada bulan Rejab iaitu; 
  • 13 Rejab, kelahiran  Saidina Ali ibn Abi Talib. Sesetengah pendapat mengatakan Saidina Ali dilahirkan pada bulan Jamadilawal.
  • Berlakunya peperangan Tabuk; peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah s.a.w. di bulan Rejab, 9 Hijrah (Oktober 630)
  • 28 Rejab 1342 Hijrah (3 Mac 1924), Khalifah Uthmaniyyah telah dihapuskan oleh Mustafa Kemal Atatürk
  • Jerusalem telah ditawan oleh Salahuddin dalam bulan Rejab, 583H (September / Oktober 1187)
  • Hari Nakba pada 6 Rejab 1367H. (15 Mei 1948)


Sirah Jamadilakhir


Jamadilakhir (جمادي الآخر) merupakan bulan keenam dalam kalendar Hijrah dan bulan kedua (terakhir) pada musim panas. Tarikh yang perlu diingati pada bulan ini ialah Kalendar Hijrah ini mula diperkenalkan pada 20 Jamadilakhir 17H semasa pemerintahan Khalifah Umar Ibn al-Khattab.

Di antara peristiwa terpenting pada bulan ini ialah;
  • 23 Jamadilakhir  (13H) - Khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia
  • 6 Jamadilakhir  (13H) - Perlantikan Saiyidina Umar al-Khattab sebagai Khalifah kedua
  • 20 Jamadilakhir  - Kelahiran Siti Fatimah (az-Zahrah) binti Muhammad pada 5 tahun sebelum Rasulullah menerima wahyu (605M). Puteri Rasulullah ini telah meninggal dunia pada 3 Jamadilakhir 11H. Sesetengah pendapat mengatakan 4 Jamadilawal 11H iaitu 6 bulan selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
  • Perangan Yarmuk antara tentera Rom dan Islam.di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada 13H. Tentera Rom disertai lebih 100,000 orang telah kalah kepada 30,000 tentera Islam yang dipimpin oleh  Khalid bin Al Walid dan Abu `Ubaidah. Bagaimanapun terdapat pandangan yang mengatakan peperangan ini berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.
  • Perang Jamal berlaku 10 Jamadilakhir tahun ke-36 Hijrah di luar kota Basrah, Iraq, iaitu perang saudara pertama dalam Islam di antara kumpulan Saiditina Aisyah dan Khalifah Ali yang menyebabkan ramai sahabat telah terkorban diantaranya,  Talhah r.a dan Ibnu Zubir r.a. Peperangan itu dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib. Bagaimanapun sesetengah pendapat perang ini berlaku pada bulan Jamadil Awwal.

Saturday, September 15, 2012

Sirah Jamadilawal


Jamadilawal (جمادي الأول) merupakan bulan ke-5 di dalam kalendar Takwim Hijrah.

Dalam bulan ini adalah bulan kelahiran Saidina Ali bin Abi Talib dan juga anak ketiganya, puteri beliau Zainab binti Ali.


Sirah Rabiulakhir


Rabiulakhir (ربيع الآخر) merupakan bulan ke-4 di dalam kalendar Hijrah. Iaitu bulan kedua (terakhir) bagi musim bunga.

Peristiwa-peristiwa penting diantaranya ialah;
  • Peperangan Najran, Pengusiran kaum Yahudi Bani Nadir, Peperangan Al-Ghabah / Zi-Qarad dan Peperangan Al-Ghamar.
  • Pengepungan Damsyik - pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a diketuai oleh Abu `Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.
  • Imam Ghazali meninggal dunia.
  • Terdapat salah satu pendapat minoriti yang mengatakan 27 Rabiulakhir adalah tarikh Isra` dan Mi`raj Rasulullah s.a.w (tarikh difardhukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan yang diguna pakai di Malaysia ialah 27 Rejab.

Sirah Rabiulawal


Rabiulawal (ربيع الأوّل) merupakan bulan ketiga dalam Kalendar Hijrah. bermaksud pertama permulaan musim bunga, merujuk kepada kedudukannya dalam kalendar pra-Islam Arab.
Bulan ini membawa satu peristiwa besar dimana pada bulan ini, umat Islam di seluruh dunia menyambut Mawlid – iaitu hari lahir Nabi Muhammad.s.a.w. pada 12 Rabiul Awal. Pelbagai acara sambutan Maulidur Rasul diadakan bagi memuliakan hari keputeraan Rasulullah kita ini.

Bagaimanapun penganut Syiah pula berpendapat Rasulullah telah dilahirkan pada subuh hari 17 'Rabiulawal. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, di sesetengah negara sambutan Mawlid diadakan pada mana-mana hari dalam bulan ini.
Selain hari kelahiran Rasulullah, bulan ini juga memperingati peristiwa, iaitu;
  • 1 Rabiulawal – Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul
  • 2,3 & 4  Rabiulawal  – Rasulullah bersembunyi di gua Hira'
  • 8  Rabiulawal  – Pembinaan masjid pertama iaitu Masjid Quba oleh Rasulullah.
  • 12  Rabiulawal  – Hari kewafatan Baginda Rasul.
  • 26  Rabiulawal  – Kematian bapa saudara Rasulullah iaitu, Abu Talib ibn Muttalib.
  • Perkahwinan diantara Rasulullah dengan Saiditina Khadijah binti Khuwalid.

Sirah Safar

Safar (صفر) adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah. Safar juga beertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab Jahiliyyah sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana mencari makanan dan harta benda dengan melakukan serangan dan peperangan ke atas musuh-musuh mereka.

Peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini ialah kewafatan Saidina Hasan bin Ali iaitu cucu sulung Rasulullah yang dibunuh pada 28 Safar.

Selain daripada itu, beberapa peristiwa telah berlaku pada bulan ini, diantaranya ialah;

  • Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.
  • Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijriyah. Khalifah `Abbasiah, Al-Mu`tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya,  para pembesar negara dan ribuan orang Islam. 

Sirah Muharram


Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Muharram membawa maksud 'diharamkan', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi). Bulan ini mempunyai kelebihan dan kemuliaan di kalangan makhluk - makhlukNya yang beriman.

Menurut Al-Hassan Al-Basri, tidak ada bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram.

Diantara Peristiwa-peristiwa Penting di bulan Muharram

1 Muharram
  • Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
10 Muharram
Dinamakan juga Hari Asyura. Ashura, yang bermaksud "Kesepuluh" dalam bahasa Arab, merujuk kepada hari kesepuluh Muharram. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting diantaranya;
  • Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  • Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  • Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  • Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  • Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.
  • Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  • Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  • Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  • Hari pertama Allah menciptakan alam.
  • Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan 'Arasy.
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  • Allah menjadikan alam.
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  • Nabi Isa diangkat ke langit
  • Saidina Hussein ibn Ali (cucu Rasulullah) telah wafat dibunuh.

Tuesday, September 11, 2012

Tarikh Lahir Dalam Hijrah

-->
Date Conversion
Gregorian to Hijri Hijri to Gregorian
Day: Month: Year

Monday, September 10, 2012

Nama Bulan-bulan Hijrah

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena musim (cuaca) ataupun sempena sesuatu peristiwa besar. Walau bagaimanapun tahun baru hijrah iaitu 1 Muharram berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun,  maka, musim atau peristiwa asal tidak lagi mempengaruhi lagi bagi sesetengah nama bulan; 

  1. Muharam (محرّم)
    • Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
  2. Safar (صفر)
    • Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga bermaksud kosong (shifr) yang menunjukkan pada masa itu masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka menjadi kosong untuk mencari makanan dan harta benda.
  3. Rabiulawal (ربيع الأول)
    • Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
  4. Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)
    • Bulan kedua (terakhir) musim bunga.
  5. Jamadilawal (جمادي الأول)
    • Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.
  6. Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)
    • Bulan kedua (terakhir) musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
  7. Rejab (رجب)
    • Satu lagi bulan suci yang mengharamkan peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
  8. Syaaban (شعبان)
    • Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah kumpulan untuk mencari air.
  9. Ramadhan (رمضان)
    • Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
  10. Syawal (شوال)
    • Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
  11. Zulkaedah (ذو القعدة)
    • Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
  12. Zulhijah (ذو الحجة)
    • Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

Ciri-Ciri Tahun Hijrah


Takwim Hijrah ialah sistem kalendar bagi umat Islam di seluruh dunia. Kalendar ini merupakan sejenis kalendar lunar (qamariyah) yang  dihitung berdasarkan pergerakan/fasa bulan mengelilingi bumi.

Hari 

Dalam Kalendar Masihi, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya. Manakala dalam Kalendar Hijrah, hari mula bertukar tarikh bila matahari terbenam (waktu maghrib).

Untuk pengiraan hari pertama bagi setiap bulan Hijrah pula, bolehlah kita bayangkan bagaimana kita menentukan hari berpuasa di bulan Ramadhan atau hari raya aidil fitri di bulan Syawal.

Hari pertama bagi setiap bulan adalah bermula sebaik sahaja kita melihat anak bulan (hilal) kelihatan selepas matahari terbenam. Oleh itu malam mendahului siang. 

Namun sekiranya hilal tidak kelihatan semasa peralihan hari ke29 dengan hari berikutnya, maka, hari berikutnya itu dikira sebagai hari yang ke-30.

Bulan

Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari (tidak semestinya bilangan hari tetap bagi setiap bulan).

Firman Allah S.W.T.
Maksudnya; 'Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa'

Surah al-Taubah; 36

Tahun

Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354 atau 355 (354.36) hari, iaitu beza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam Kalendar Masihi. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru hijrah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.

Kemunculan Tahun Hijrah


20 JAMADILAKHIR 17H

Takwim Hijrah mula diperkenalkan semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Sayidina Umar Ibn al-Khattab pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah ( 638 Masihi).

Terdapat riwayat, idea ini muncul apabila Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Khalifah Umar bertanyakan tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.

Oleh kerana ketiadaan tarikh atau kalendar yang jelas dan boleh dirujuk dengan baik ketika itu, maka Saidina Umar telah meminta untuk diadakan satu kalendar/takwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Pada ketika itu, tersangat banyak rujukan kalendar yang digunakan oleh bangsa Arab termasuklah Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar jahiliah.

Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari tersebut bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Saidina Ali ibn Abi Talib mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan hari/tahun Hijrah.

Manakala Saidina Osman mencadangkan menjadikan Muharam sebagai bulan pertama bagi kalendar umat Islam tersebut.

Kedua-dua cadangan tersebut diterima oleh kalangan sahabat.

Ini bermakna, Awal Muharram tahun 1 Hijrah bersamaan dengan 16 Julai 622 Masihi