Saturday, September 22, 2012

Ibnu Taimiyah

Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran, Turki. 

Ibnu Taimiyah; sekadar gambar ilustrasi artis 

Beliau hidup semasa zaman kekacauan yang menyaksikan pencerobohan kuasa Mongol. Keluarga Ibnu Taimiyah berpindah ke Damsyik pada tahun 1258. Di Damsyik, beliau belajar ilmu fiqah dari bapanya dan berguru dengan sarjana-sarjana Islam, di antaranya ilmu hadith dari Zaynab binti Makki. Selain itu beliau mempelajari ilmu sains, sastera Arab, falsafah, matematik, kaligrafi dan ilmu kalam. Daya ingatannya sangat kuat dan ilmunya dikatakan seolah-olah seperti sebuah ensiklopedia. Beliau juga mengarang ratusan buah kitab yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatwa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini.

Umat Islam pada masa itu sudah ramai yang menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam. Sebagai seorang yang bermazhab Hanbali, beliau mahu melihat masyarakat Islam kembali kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah. Ini menyebabkan beberapa puak dan kumpulan Islam tertentu berlaku perselisihan pendapat dengan beliau.

Terdapat juga pertikaian pandangan beliau dengan beberapa ulama serta pemerintah. Beliau kerap kali keluar masuk penjara disebabkan pertikaian tersebut. Pada tahun 1306, Ibnu Taimiyah dipenjarakan di Mesir selama 18 bulan kerana dituduh menyokong fahaman yang menyamakan sifat manusia ke atas Allah. Pada bulan Julai 1326, kerajaan Mesir sekali lagi mengarahkan beliau dipenjarakan kerana beliau mengutuk tradisi melawat kubur orang alim. Beliau meninggal dunia pada malam Isnin, 20 Zulkaedah 728H (27 September 1328) ketika berumur 65 tahun di dalam penjara di Damsyik, setelah sakit lebih dari 20 hari. 
Makam Ibn Taymiyyah berhampiran Baramkeh, Syria di dalam kampus Universiti Damsyik.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau dibenci oleh ramai orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita. Beliau dimakamkan di Damsyik berdekatan dengan kubur ibunya.

2 comments:

  1. Bismillah,

    Sewajarnya setiap artikel dinyatakan dari manakah sumber rujukannya. Ini lebih amanah dalam penukilan sesebuah riwayat terutama apabila ada kaitannya dengan hal² keugamaan.

    ReplyDelete
  2. Bismillah,

    Sewajarnya setiap artikel dinyatakan dari manakah sumber rujukannya. Ini lebih amanah dalam penukilan sesebuah riwayat terutama apabila ada kaitannya dengan hal² keugamaan.

    ReplyDelete