Monday, September 10, 2012

Ciri-Ciri Tahun Hijrah


Takwim Hijrah ialah sistem kalendar bagi umat Islam di seluruh dunia. Kalendar ini merupakan sejenis kalendar lunar (qamariyah) yang  dihitung berdasarkan pergerakan/fasa bulan mengelilingi bumi.

Hari 

Dalam Kalendar Masihi, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya. Manakala dalam Kalendar Hijrah, hari mula bertukar tarikh bila matahari terbenam (waktu maghrib).

Untuk pengiraan hari pertama bagi setiap bulan Hijrah pula, bolehlah kita bayangkan bagaimana kita menentukan hari berpuasa di bulan Ramadhan atau hari raya aidil fitri di bulan Syawal.

Hari pertama bagi setiap bulan adalah bermula sebaik sahaja kita melihat anak bulan (hilal) kelihatan selepas matahari terbenam. Oleh itu malam mendahului siang. 

Namun sekiranya hilal tidak kelihatan semasa peralihan hari ke29 dengan hari berikutnya, maka, hari berikutnya itu dikira sebagai hari yang ke-30.

Bulan

Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari (tidak semestinya bilangan hari tetap bagi setiap bulan).

Firman Allah S.W.T.
Maksudnya; 'Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa'

Surah al-Taubah; 36

Tahun

Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354 atau 355 (354.36) hari, iaitu beza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam Kalendar Masihi. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru hijrah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.

No comments:

Post a Comment