Saturday, September 22, 2012

Ibnu Taimiyah

Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran, Turki. 

Ibnu Taimiyah; sekadar gambar ilustrasi artis 

Beliau hidup semasa zaman kekacauan yang menyaksikan pencerobohan kuasa Mongol. Keluarga Ibnu Taimiyah berpindah ke Damsyik pada tahun 1258. Di Damsyik, beliau belajar ilmu fiqah dari bapanya dan berguru dengan sarjana-sarjana Islam, di antaranya ilmu hadith dari Zaynab binti Makki. Selain itu beliau mempelajari ilmu sains, sastera Arab, falsafah, matematik, kaligrafi dan ilmu kalam. Daya ingatannya sangat kuat dan ilmunya dikatakan seolah-olah seperti sebuah ensiklopedia. Beliau juga mengarang ratusan buah kitab yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatwa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini.

Umat Islam pada masa itu sudah ramai yang menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam. Sebagai seorang yang bermazhab Hanbali, beliau mahu melihat masyarakat Islam kembali kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah. Ini menyebabkan beberapa puak dan kumpulan Islam tertentu berlaku perselisihan pendapat dengan beliau.

Terdapat juga pertikaian pandangan beliau dengan beberapa ulama serta pemerintah. Beliau kerap kali keluar masuk penjara disebabkan pertikaian tersebut. Pada tahun 1306, Ibnu Taimiyah dipenjarakan di Mesir selama 18 bulan kerana dituduh menyokong fahaman yang menyamakan sifat manusia ke atas Allah. Pada bulan Julai 1326, kerajaan Mesir sekali lagi mengarahkan beliau dipenjarakan kerana beliau mengutuk tradisi melawat kubur orang alim. Beliau meninggal dunia pada malam Isnin, 20 Zulkaedah 728H (27 September 1328) ketika berumur 65 tahun di dalam penjara di Damsyik, setelah sakit lebih dari 20 hari. 
Makam Ibn Taymiyyah berhampiran Baramkeh, Syria di dalam kampus Universiti Damsyik.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau dibenci oleh ramai orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita. Beliau dimakamkan di Damsyik berdekatan dengan kubur ibunya.

Perjalanan Rasulullah Mengerjakan Haji Wida'

Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan juga yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Peperangan Bani Quraizah


Peperangan ini berlaku pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan oleh tentera muslimin, Rasulullah telah didatangi oleh malaikat Jibril AS serta memberitahu bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah merupakan satu puak Yahudi yang bergabung dengan tentera Ahzab, untuk mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Yahudi Bani Quraizah itu yang bukan sahaja mengkhianati janji dengan Rasulullah, malah telah bersekongkol bersama tentera Ahzab kuffar serta merancang untuk membunuh seluruh umat Islam. 

Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah 3 ribu tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah. Tentera Islam mengepung perkampungan itu selama 25 malam sehingga orang-orang yahudi Bani Quraizah  akhirnya menyerah diri.

Thursday, September 20, 2012

Perjanjian Hudaibiyah

Perjanjian Hudaibiyah merupakan perjanjian damai diantara pihak musyrikin Quraisy Mekah dengan Rasulullah yang berlaku  pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 hijrah (Mac 628). Perjanjian Hudaibiyah ini dinamakan sempena nama tempat perjanjian ini ditandatangani iaitu di perkampungan Hudaibiyah.
Tapak masjid Hudaibiyah (lama) ini yang menjadi tempat Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.

Rentetan Peristiwa 

Sebelum itu, Rasulullah telah bermimpi, baginda mengunjungi Baitullah,  bercukur rambut, mengambil anak kunci Baitullah & Wukuf di Arafah bersama-sama sahabat. Rasulullah mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi  menunaikan ibadah umrah. Tambahan lagi perasaan rindu yang amat sangat terhadap keluarga, sanak saudara & tempat kelahiran para sahabat di Mekah, membuat lagi perasaan mereka kuat & berazam untuk menziarahi Baitullah

Dengan keyakinan umat Islam yang sudah kuat & mantap, Rasulullah bersama 1400 orang Islam termasuk 200 pasukan berkuda (sebagai pengawal keselamatan dan pasukan peninjau) pergi ke Mekah pada 1 Zulkaedah tahun 6 hijrah untuk mengerjakan umrah. Rombongan ini tidak melalui laluan utama dengan mengambil jalan berliku dicelah-celah bukit bagi mengelak bertembung dengan musuh. Malahan mereka tidak membawa senjata kecuali pedang musafir. Selain itu mereka membawa 70 ekor binatang ternakan sebagai bekalan makanan.

Di sepanjang perjalanan dari Bi’r Ali  Zulhulaifah, mereka memakai pakaian ihram dan bertalbiah. Apabila rombongan Rasulullah telah hampir ke Kota Mekah, pihak musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka Budail bin Warqa' al Khuzai  datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Mekah. Rasulullah telah memaklumkan  bahawa kedatangan orang Islam adalah untuk menziarah bukan untuk berperang. Sekembalinya Budail ke Mekah, pihak musyrikin menghantar pula Urwah bin Masud utk berunding dengan Rasulullah. Namun gagal mencapai sebarang persetujuan, malah pihak musyrikin Quraisy sudahpun mengumpulkan pasukan tentera berjumlah 8 ribu orang dan lengkap bersenjata.

Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan ke Mekah untuk berunding sekali lagi dengan pihak musyrikin. Malangnya Uthman bin Affan ditahan selama 3 hari dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar atau berbaiah (bai'at) untuk menuntut atas kematian itu. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian di antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berikrar : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Ikrar itu dikenali sebagai Baiah Ridhwan atau Bai’tus Syajarah iaitu sempena tempat  janji setia itu  diadakan iaitu di bawah pokok bernama  "Ridhwan"  ( Surah al Fath , ayat: 10). Apabila mendengar berita ini, pihak musyrikin ketakutan dan membebaskan Uthman bin Affan dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan Rasulullah.  

Pada bulan Zulkaedah tahun 6Hijrah (March 628M) perundingan inilah membawa kepada berlakunya "Perjanjian Hudaibiyah" yang mana berlaku di perkampungan Hudaibiyah. Saidina Ali r.a. bertindak sebagai pencatat perjanjian damai bagi pihak kaum muslimin ketika itu.

Kandungan Perjanjian Hudaibiyah
  • Gencatan senjata selama 10 tahun.
  • Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.
  • Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
  • Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian atau persahabatan dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.
  • Orang Islam hanya dibenarkan memasuki Mekah pada tahun  hadapannya dan disyaratkan hanya membawa senjata bersarung dan berada  di Mekah tidak lebih daripada tiga hari.
Pada mulanya para sahabat terutama Saidina Umar al Khattab mempertikaikan syarat-syarat perjanjian itu kerana kelihatan merugikan orang-orang Islam. Rasulullah pula melihat apa yang tersirat dari yang tersurat lantas bersetuju dengan syarat tersebut.

Hikmah Perjanjian Hudaibiyah
  • Orang Islam berpeluang menunaikan ibadat haji pada tahun hadapannya (629 Masihi) dan seterusnya.
  • Kehidupan masyarakat aman dan damai.
  • Pengiktirafan kepada Rasulullah dan negara Islam di Madinah.
  • Orang Islam dapat membuat perhubungan dengan kabilah Arab yang lain. Rasulullah menghantar utusan kepada kabilah-kabilah sekitar Madinah yg dinamakan”Sariyyah" pada tahun ke7 Hijrah
  • Berkembangnya syiar Islam dengan selesa merangka program dakwah Islamiyah ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah. Rasulullah juga menghantar utusan ke negeri asing untuk menyeru raja-rajanya peluk Islam.
  • Ramai orang kafir memeluk agama Islam secara terang-terangan tanpa risau dihukum oleh pihak musyrikin Quraisy.
  • Membuka jalan kepada pembebasan Mekah daripada musyrikin Quraisy.
  • Melambangkan ketokohan Rasulullah yang unggul sebagai pemimpin yang amat dikagumi dan secara tidak langsung telah mengajar umatnya bagaimana untuk membuat perjanjian dengan kaum kafir.
Tidak sampai setahun terbukti Perjanjian Hudaibiyah menguntungkan orang-orang Islam. Perjanjian Hudaibiyah itu mempercepatkan kemenangan bagi umat Islam. Perjanjian itu telah mengubah kedudukan agama Islam menjadi semakin kuat dan kedudukan kaum Quraisy di Mekah menjadi semakin lemah dalam masa yang singkat. Akhirnya membawa kepada penaklukan Kota Mekah. 

Perjanjian Hudaibiyah telah dicabul oleh kaum musyrikin selepas dua tahun perjanjian ini ditandatangani. Angkatan tentera Rasulullah menuju ke Mekah dan berjaya menguasai Mekah semula tanpa pertempuran yang besar. Beberapa tokoh-tokoh penting Arab Quraisy seperti Khalid al Walid, Amr bin Al-As dan Uthman bin Talhah telah memeluk Islam dan menjadi ikutan kepada orang-orang arab Quraisy yang lain.

Sunday, September 16, 2012

Sirah Zulhijah

Zulhijah (ذو الحجة) bulan terakhir dalam setahun. Ibadat Haji dan Hari Raya Korban/Aidil Adha dilakukan pada bulan ini yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah.  Perayaan ini sebagai satu simbolik dalam peristiwa penyembelihan Nabi Ismail a.s. oleh ayahdanya Nabi Ibrahim a.s., namun Allah telah menukarkan penyembelihannya kepada seekor kambing biri-biri.

Peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku pada bulan ini ialah;
  • 1 Zulhijah (2 tahun sebelum Hijrah)- Perkahwinan Saidina Ali dan puteri Rasulullah, Fatimah. 
  • 8 Zulhijah – Hari Wida’ Nabi yang terakhir. Rasulullah menyampaikan pidato kepada kaum muslimin di Bukit Arafah sebelum selesai ibadat haji
  • 09 Zulhijah - Hari Arafah
  • 11,12, dan 13 Zulhijjah- Hari Tasyriq adalah diharamkan umat Islam untuk berpuasa.
  • 26 Zulhijah, Khalifah Ar-Rasyidin Saidina Umar Al-Khattab meninggal dunia setelah dibunuh oleh Abu Lukluah berbangsa Parsi beragama Majusi.
  • 18 Zulhijah – Khalifah Usman meninggal dunia dibunuh di dalam rumahnya.
  • 25 Zulhijah - Saidina Ali menjadi Khalifah ar Rasyidin yang ke 4.
  • Penyerahan kuasa di Kufah oleh Saidina Hasan bin Ali kepada Muawiyah bin Abi Sufian
  • 27 Zulhijjah 132H – Jatuhnya kerajaan Bani Umaiyyah.

Sirah Zulkaedah


Zulkaedah (ذو القعدة) merupakan bulan yang ke 11. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghadkan aktiviti perniagaan mereka untuk berehat.

Walaupun pada bulan ini tiada ibadah yang dikhususkan untuk orang Islam amalkan seperti bulan-bulan Islam yang lain, namun bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Sebahagian besar Ulama’ berpendapat bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah.

Peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini ialah Perjanjian Hudaibiyah.

Sirah Syawal

Syawal (شوال) merupakan bulan ke 10 dalam bulan Hijrah. Pada 1 Syawal, umat Islam merayakan hari raya Aidil Fitri sebagai perayaan kesyukuran setelah menjalani ibadah puasa pada bulan sebelumnya iaitu bulan Ramadhan. Umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa sunat enam hari pada bulan tersebut kecuali 1 Syawal (yang diharamkan untuk berpuasa).

Pada bulan ini juga terdapat beberapa peristiwa diantaranya ialah;
  • 29 Syawal, bapa saudara Rasulullah, Abu Talib ibn 'Abd al-Muttalib dilahirkan.
  • Berlakunya peperangan Uhud pada 3H
  • Berlakunya peperangan Khandak pada 5H
  • Kejayaan tentera Islam di zaman pemerintahan Khalifah Umar merampas bandar Madain.